TA'ARUF

Saujana Utama, Sg Buloh, Selangor, Malaysia
Tel No: 0193034218 E-mail: amal_islamy@yahoo.com

LATAR BELAKANG

ARTIS NASYID SOLO. PENERBIT ALBUM & KOMPOSER IRAMA NASYID. PENCERAMAH MOTIVASI & PENDAKWAH. PERUNDING PUSAT MOTIVASI ROHANIAH. AHLI LEMBAGA PENGARAH MUAZZIN PRODUCTIONS SDN BHD. AHLI MACP MALAYSIA. FASILITATOR ESUKUTIF PIPA, JAKIM.

Monday, March 10, 2008

TAZKIRAH

UBAN DUNIAWI VS UBAN UKHRAWI

Uban hai uban. Percaya atau tidak, hari ini, murid SK dan SMK pun sudah ada yang beruban. Sudah pandai minta ayah beli ubat untuk menghilangkan uban. Takut nampak tualah kononnya.

Uban bukan cerita baru. Ironinya, cerita pasal uban sama panjang dengan usia generasi awal di dunia ini. Pun begitu, kalau ditanya, uban yang memutih di persada ‘kepala’ kita tumbuh disebabkan apa? Apa jawapannya ya? Li kulli syai-in sababa. Bagi setiap perkara itu bukankah ada asbab musababnya.

Pakar-pakar kesihatan mengaitkan ‘situasi’ ini berpunca dari factor pemakanan atau lebih umum lagi ‘life style’ warga dunia ketika ini. Dari santapan junkfood, fast food, minuman berkabonat, nikotin dan segala macam lagi bahan kimia, racun, dan toksik yang menyerapi segenap urat dan usus.

Selain itu, gejala uban dan seumpamanya (rambut gugur) dikaitkan dengan ‘tekanan dan hambatan hidup’ yang dilalui manusia. Siang malam fikir pasal hutang keliling pinggang, pasal hubungan keruh suami isteri, pasal kedegilan anak, pasal trafik jammed, pasal date line, pasal missed syoru sebelum hujung bulan, pasal kegagalan hidup, pasal kedengkian musuh, pasal berebut harta dan 1001 macam pasal lagi.

Info: Mengapakah rambut berubah menjadi putih?

Rambut sebenarnya mempunyai warna asas putih. Pigmen berwarna yang terdapat pada folikel rambut menyebabkan rambut kita berwarna hitam atau perang semasa usia muda. Apabila usia seseorang individu itu meningkat (tua) , sel-sel pigmen tadi mati lalu menyebabkan warna rambut bertukar menjadi putih.

Keseluruhan proses pemutihan rambut ini mengambil masa yang lama iaitu diantara 10 hingga 20 tahun,jarang sekali ia berlaku dalam tempoh yang singkat. Itu cerita pasal uban menurut kajian saitifik, biologi dan sosiologi. Bagaimana pula uban dari kacamata islam?

Semasa kecil, saya pernah mendengar para ustaz menyebutkan bahawa uban itu adalah di antara utusan kematian dari Tuhan sebagai peringatan buat bani Insan yang kematian semakin menghampirinya.

Ceramah al ustaz diserikan pula dengan pantun 7 kerat loghat utara menyebutkan: “Bila rambut dah beghambog, mata dah berkabog, tulang belakang dan kendog, gigi dah beteghabog, ayag liog dah mula bersembog, dah mula makan nasi bubog, tak lama lagi masuklah ke dalam kubog”.

Realitinya, belum pun umur menjangkau 40 an, uban sudah meriah di persada kepala. Kalau begitu, jangka hayat manusia zaman moden ini tentunya tidak panjang lagi seumpama datuk nenek kita dulu kerana ‘utusan kematian’ itu sudah mula menjelma. Maka, wajiblah dipersiapkan segera bekalan untuk berangkat pulang.

Itulah cerita pasal uban dari kaca mata dan pemahaman kita. Apapun, jom kita ambil tahu pasal uban Nabi Muhammad SAW.

Di dalam kitab QUTUF AL MUKHTARAH (Petikkan terpilih dari Al quran, hadis, kata-kata hikmah, syair dan doa) karangan As Syeikh Abdullah bin Yahya Ali Yahya Al Ghamidiy mukasurat 183 dituliskan sebab berubannya Nabi SAW. Iaitu kerana penghayatan dan mendalamnya tadabbur baginda terhadap kandungan lima surah berikut. Surah Al waqi’ah, surah Al Mursalat, surah An Naba’, surah At Takwir dan surah Hud. Masya Allah, Rasulullah SAW beruban kerana sebab-sebab akhirat! Yang kita pula beruban kerana sebab-sebab DUNIAWI!